Tuesday, August 3, 2010

FUNGSI BAHASA MELAYU

FUNGSI BAHASA MELAYU


Jika diteliti, kita boleh mengatakan bahawa bahasa kebangsaan mempunyai fungsi perpaduan. Maksud fungsi perpaduan ialah menimbulkan sikap bersatu terhadap kesetiaan bahasa. Misalnya, apabila orang berlainan bangsa bertemu, mereka dapat mengeratkan hubungan di antara satu sama lain dengan penggunaan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu.

Sebagai bahasa utama bagi negara yang baru terlepas daripada penjajahan, Bahasa Melayu juga mempunyai peranan sebagai bahasa rasmi negara. Bahasa rasmi bermaksud bahasa yang digunakan dalam urusan pentadbiran kerajaan, sistem pendidikan negara, urusan perniagaan dan upacara-upacara rasmi. Perkara 152 Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahawa Bahasa Kebangsaan ialah Bahasa Melayu yang mesti digunakan untuk maksud-maksud rasmi dan dalam bentuk tulisan yang telah ditetapkan oleh Undang-Undang Persekutuan. Bahasa kebangsaan biasanya satu bagi setiap negara, tetapi bahasa rasmi tidak demikian. Bahasa rasmi boleh lebih daripada satu, mungkin dua, tiga atau empat bagi sesebuah negara. Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi negara bukan sejak bermula kemerdekaan, sebaliknya hanya bermula pada tahun 1969. Sebagai bahasa rasmi Negara ini bahasa Melayu harus memainkan fungsinya untuk memenuhi beberapa kegiatan pada peringkat kenegaraan. Antara fungsi yang penting ialah:

a) Sebagai bahasa lisan para pegawai kerajaan sewaktu menjalankan tugas-tugas rasmi Negara

b) Sebagai media segala urusan surat-menyurat di dalam dan di antara jabatan-jabatan kerajaan

c) Digunakan dalam semua rekod kerajaan

d) Sebagai media untuk menuliskan semua undang-undang dan peraturan-peraturan Negara

e) Digunakan untuk semua jenis borang-borang urusan rasmi kerajaan

Bahasa Melayu, dan bukan bahasa lain, digunakan sebagai bahasa rasmi kerana beberapa sebab, Bahasa Melayu sudah menjadi bahasa kebangsaan dan berupaya mengambil alih fungsi Bahasa Inggeris, maka layaklah Bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi. Bahasa Melayu juga dapat difahami oleh semua kaum di negara ini, maka dalam urusan rasmi, rakyat tidak menghadapi masalah menggunakan Bahasa Melayu. Bahasa Melayu berfungsi sebagai bahasa kebangsaan kerana bahasa Melayu berupaya berfungsi untuk menunjukkan identiti kebangsaan bagi sesebuah negara. Bahasa kebangsaan dipilih daripada salah sebuah bahasa tempatannatau peribumi yang telah meluas penggunaannya dan yang dapat menggambarkan ciri-ciri kebangsaan negara berkenaan. Di Malaysia, bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan. Bahasa ini merupakan bahasa tempatan dan telah lama digunakan sebagai alat perhubungan di kalangan penduduk-penduduknya. Bahasa Cina dan Tamil, walaupun dituturkan oleh segolongan rakyat Malaysia tetapi ia tidak memperlihatkan identiti kebangsaan bagi Malaysia kerana ia merupakan bahasa pendatang.

Setelah menjadi bahasa rasmi, keupayaan Bahasa Melayu perlu diperkukuhkan. Untuk itu, Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar di sekolah bermula pada tahun 1970. Menteri Pelajaran ketika itu, Abdul Rahman Yaakob telah mengarahkan semua sekolah kebangsaan aliran Inggeris menggunakan Bahasa Melayu secara berperingkat-peringkat. Kini Bahasa Melayu telah menjadi bahasa pengantar bukan sahaja di sekolah, malah ke peringkat universiti. Penggunakan bahasa pengantar ini akan mewujudkan satu suasana kebangsaan yang membabitkan semua rakyat tanpa mengira kaum. Dengan itu, sistem pendidikan nasional dapat dicapai.

No comments:

Post a Comment